CloudDesk: SOLUSI PENGURUSAN MAKMAL KOMPUTER

/CloudDesk: SOLUSI PENGURUSAN MAKMAL KOMPUTER
CloudDesk: SOLUSI PENGURUSAN MAKMAL KOMPUTER 2019-04-15T09:08:14+00:00

Pendahuluan

Pendidikan merupakan komponen terpenting dalam membentuk kecemerlangan sesebuah negara. Selaras dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM-PT) 2015-2025 yang inginkan transformasi dalam pendidikan, ICT memainkan peranannya tersendiri. Adaptasi budaya ‘Bring Your Own Device’ (BYOD), Virtual Desktop Infrastructure (VDI), ‘flip classroom’ dan ‘student centered learning’ menjadi kayuukur kepada sesebuah Universiti sejauh mana perkembangan dan keupayaan Universiti dalam memenuhi keperluan semasa pelajar.

Peruntukan bajet yang semakin meruncing menjadi persoalan pokok dalam memastikan operasi dan perkhidmatan ICT dapat terus diberikan kepada pelajar dengan keperluan teknikal yang semakin mencabar. Makmal komputer merupakan aset terbesar bagi menyokong teras Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) di sesebuah Universiti. Perkakasan komputer yang usang, kos penyelenggaraan yang tinggi dan perolehan perisian yang khusus bagi setiap Fakulti memerlukan pengurusan makmal yang lebih sistematik dan kos efektif . Mulai tahun 2014, pihak GOAL-ITQAN telah memulakan perjalanan alternatifnya dalam menguruskan makmal komputer yang lebih kos efektif melalui teknologi Clouddesk. Teknologi ini menjanjikan Total Cost of Ownership (TCO) yang rendah dengan memanjangkan jangka hayat sesebuah komputer dan pelaksanaan spesifikasi teknikal yang minima.

 

Teknologi Clouddesk

Pengurusan makmal komputer di Universiti Awam (UA) terus releven bagi  memenuhi keperluan akademik sebagaimana keperluan MQA sesuatu program bagi tujuan pengiktirafan program. Ini termasuklah menyediakan jumlah komputer yang mencukupi dan berfungsi lengkap dengan perisian yang menyokong program akademik yang dilaksanakan oleh sesebuah Fakulti. Pengurusan makmal komputer termasuklah pengurusan operasi, penyelenggaraan komputer, dan keselamatan komputer yang memerlukan kos pengurusan yang agak tinggi.

Bagi mengatasi masalah ini, GOAL-ITQAN telah mengadaptasi Clouddesk mulai 2014. Cloudesk merupakan teknologi terkini yang berevolusi berasaskan konsep virtual desktop infrastructure (VDI) di mana perisian mahupun desktop PC di jadikan dalam bentuk imej dan ditempatkan di dalam pelayan (server), kemudian dicapai oleh pengguna melalui PC/tablet. Rujuk Rajah 1 – Arkitektur Clouddesk.

Terdapat beberapa faktor yang boleh dipertimbang oleh teknikal agensi sebelum teknologi VDI ini diadaptasi :

  1. Teknologi VDI jelas ditawarkan oleh sesuatu produk VDI. Produk seharusnya boleh menyelesaikan masalah compatibility sistem operasi (OS) bagi sesuatu perisian yang digunakan oleh agensi.
  2. Kos pelaksanaan dan kos penyelenggaraan yang ditawarkan.
  3. Kebergantungan produk terhadap rangkaian Kampus (sebaiknya produk boleh berfungsi secara off-line mode). Ini sangat penting bagi mengelak berlakunya gangguan waktu kuliah dijalankan.
  4. Produk VDI yang ditawarkan perlulah menyokong sistem operasi (OS) yang pelbagai seperti windows XP, windows 10, android, IOS dan pelbagai peranti seperti PC,notebook dan tablet.
  5. Mengetahui sistem sokongan (selepas jualan) yang diberikan oleh Syarikat termasuklah pasukan R&D sekiranya memerlukan penambahbaikan terhadap produk.

Pemilihan Clouddesk mengambilkira tiga perkara asas penting iaitu produk dibangunkan dan mempunyai pasukan R&D tersendiri, kos perolehan mampu milik dan teknologi secara offline mode. Tiga perkara pokok ini penting bagi memastikan teknologi yang dipilih dapat membantu Universiti terus kekal dan berdaya saing serta kurang terjejas dengan kedudukan ekonomi semasa.

Sebanyak 500 lesen Clouddesk telah dibuat pada penghujung 2015 bagi tujuan keperluan makmal komputer di lima Fakulti.  Daripada lima Fakulti ini, sebanyak 293 PC yang diperoleh tahun 2009, dengan spesifikasi minima 2GB RAM dan 250GB HDD telah menggunakan Clouddesk. Melaluii kaedah ini, USIM telah menikmati penjimatan RM 644,600.00 di mana sebanyak 73% penjimatan telah dibuat untuk tempoh 2015 sehingga 2020. Ini menjadikan tempoh hayat 293 PC ini dipanjangkan daripada 5 tahun kepada 10 tahun. Sehingga kini, pihak GOAL-ITQAN masih lagi menjadikan 293 PC ini sebagai kajian kes Clouddesk USIM bagi melihat sejauh mana Clouddesk membantu USIM dalam proses penjimatan dan membantu melancarkan proses pengajaran dan pembelajaran di USIM. Sehingga kini, hanya 3 unit PC dilaporkan daripada 293 PC ini yang rosak dan memerlukan penggantian.

Selain membantu dalam pengurusan makmal komputer, GOAL-ITQAN juga telah menempatkan perisian-perisian pengajaran ini secara virtual apps (Vapps) bagi memudahkan perisian dapat dicapai oleh pelajar dan pensyarah/penyelidik di lokasi masing-masing seperti di kolej kediaman. Ini akan menggalakkan penggunaan perisian pengajaran dikalangan warga USIM.

Kesimpulan

Kesimpulannya, Clouddesk dilihat sebagai satu langkah pengurusan makmal komputer yang kos efektif yang boleh dilaksanakan di institusi pendidikan dalam memastikan kelestarian perkhidmatan operasi makmal komputer pada masa-masa akan datang terutamanya dalam keadaan ekonomi yang meruncing.

Disediakan oleh :

Khadijah Chamili,
Memangku Tugas Pengarah,
GOAL-ITQAN